Wednesday, December 24, 2008

Why I put up many postings today

Hm... cos tomorrow, we'd be on our way to Langkawi... well, hope that the journey will be smooth-sailing... so, I'd be on leave from tomorrow til 5/1...! Hope to capture lots of interesting, beautiful sights along the way...

And here's sthg I'd like to share - my passion to writing does not restrict me towards using the English language only. Anyone reading, please gimme comments on what needs be improved, k?

Tapi... jangan kata I jiwang, ok?

Kembalikan saat riang itu…

Adi terduduk. Dia merenung gadis manis di depannya, seolah-olah tidak percaya akan apa yang didengarnya. Lama dia terdiam tanpa berkata apa-apa, sehinggalah si gadis bersuara.

“Abang beritahu mak ayah abang, nanti saya beritahu mak ayah saya...” terangnya.

Adi menjawab pantas, “Kenapa nak suruh abang? Ini keputusan Miza. Miza balik, beritahu keluarga Miza, biar mereka beritahu keluarga abang yang Miza nak batalkan perkahwinan ni!” Adi sudah mula menaikkan suara. Dia mula merasakan kelelakiannya tercabar – apa, dia ingat aku ni anak ayam yang boleh diarah ke sana-kemari? getus hatinya.

Miza terdiam. “Tapi kita kena sama-sama beritahu, nanti mak ayah Miza akan terkejut...”

“Kenapa? Miza takut dia orang salahkan Miza? Memang Miza yang salah! Eh, cuba Miza fikir, Miza dah hilang akal ke? Kenduri kita lagi sepuluh hari aje tau, kalau sebulan lepas, sebelum kita edar kad jemputan, tempah baju, pelamin, bolehlah nak cancel. Ini last-minute! Orang gila pun tak buat macam ni!” bentak Adi lagi. Hatinya semakin panas.

“Miza tau, tapi dah kita banyak masalah sekarang ni, kita dah tak serasi, macamana kita nak teruskan perkahwinan ni? Nanti kalau kita teruskan, kita bercerai nanti, lagi susah! Jadi Miza rasa, lebih baik kita jangan teruskan!” Miza pula mula meninggikan suara.

“Masalahnya, alasan-alasannya remeh-temeh sangat. Selama ini, mana kemahuan Miza yang tak abang turutkan? Abang masih sayangkan Miza, masih nak peristerikan Miza, tapi Miza yang tak nak. Abang bukan lelaki dayus, nak sembah-sembah Miza supaya ubah keputusan. Miza jangan ingat abang bodoh, abang tahu, Miza ada hubungan lain dengan Nizam, kawan sekerja Miza tu kan?”

Muka Miza berubah. Dia cuba menyangkal kata-kata Adi. “Miza tak ada hubungan cinta dengan dia, tapi, bila Miza kenal dia, Miza dapat nampak, terlalu banyak yang tak kena dalam hubungan kita. Kita punya kegemaran yang berbeza, perangai yang berbeza, malah, kehendak pun berlainan!”

“Tapi Miza, kenapa baru sekarang? Selama tujuh tahun, semua tu tak jadi masalah pun pada Miza. Masa bertunang, Miza sendiri cakap, kalau semuanya sama, boring pulak. Jangan nak berdolak-dalih lagi, memang Miza dah jatuh hati dengan Nizam!” Adi semakin membentak.
Melihat Miza hanya diam tunduk tanpa bersuara, Adi menyambung keras, “Tapi tak apa, macam yang abang kata tadi, abang tak akan merayu Miza. Jadi, Miza perlu pergi beritahu keluarga Miza, supaya mereka yang beritahu keluarga abang untuk batalkan majlis kita. Kalau abang tak terima apa-apa berita dari keluarga abang, abang anggap pernikahan kita akan tetap dilangsungkan.”

--------------------------------------------------

Miza kelihatan begitu manis dalam kebaya putih bertakhta manik. Dia tunduk merenung lantai sewaktu Adi menghampirinya untuk upacara membatalkan air sembahyang.

“Kak Miza, angkatlah muka tu, nak ambil gambarlah,” kedengaran suara adik bongsu Adi, Rina menggesa kakak iparnya.

Perlahan-lahan Miza mengangkat mukanya merenung sayu kepada Adi. Kelihatan manik jernih sedang berguguran dari kelopak matanya. Adi tidak pasti untuk apakah airmata itu gugur, tapi dia terus tunduk mengambil tangan isterinya untuk menyarung cincin di jari manisnya. Dalam kerlipan cahaya kamera, dia mengucup dahi Miza, dan kemudian mereka bersalaman dengan saudara-mara yang hadir di majlis pernikahan tersebut.

Selepas itu, semuanya bagaikan automatic bagi mereka – upacara persandingan, makan beradap, memotong kek tiga tingkat; semuanya dilalui dengan penuh gelak ketawa dan usikan dari sekalian tamu yang hadir memeriahkan sambutan raja sehari mereka.

-----------------------------------------------------------------------------
“Abang nak minum kopi ke teh?” lembut Miza bertanya sewaktu sarapan keesokannya.

“Teh”, jawab Adi pendek.

Miza menuangkan minuman yang diminta, seraya menarik kerusi dan duduk di sebelahnya. Selesai Adi menjamah sarapan, Miza bersuara, “Bila kita nak balik KL?”

“Kenapa, dah tak sabar nak jumpa buah hati ke?” lancar soalan itu terpacul dari mulutnya. Ibu mertuanya sedang membasuh pinggan, sementara adik iparnya sedang menggoreng pisang, dan tidak terdengar akan perbualan mereka.

“Eh, abang ni, apa pulak cakap macam tu? Dahlah abang langsung tak beritahu saya pasal pembatalan kenduri di Kedah, buat keluarga saya terperanjat aje bila mak abang beritahu semalam,” rungut Miza pula.

“Patutnya Miza tanya diri Miza tu kenapa abang buat macam tu. Abang takut Miza berubah fikiran lagi, jadi sebelum masa semakin singkat, baik abang buat keputusan segera. Kalau betul tak jadi hari tu, sekurang-kurangnya family abang tak malu dengan orang kampung.”

“Betul ke abang nak ke China? Ke abang reka-reka cerita?

“Miza, selama Miza kenal abang, pernah tak abang menipu?”
Miza menggeleng.

“Abang bertolak hari Rabu, jadi esok kita kena balik ke KL,” beritahu Adi.

Perbualan mereka terhenti apabila mereka dihampiri oleh adik Miza, Aisyah yang menatang sepiring pisang goreng. “Ha, bang, dah sudah ke makan mi goreng tu? Ni ada pisang goreng pulak, makan tau, jangan malu-malu!” selorohnya sambil meletakkan hidangan di hadapan Adi.

------------------------------------------------------

“Abang nak bawa baju ni tak?” Miza bertanya kepada Adi.

“Bolehlah, mana tahu nanti tak cukup baju,” balas Adi.

Dia merenung isterinya dari jauh. Isteri yang dinikahinya empat hari yang lalu. Isteri yang masih belum disentuhnya. Sudah empat malam dia berperang dengan naluri kelelakiannya untuk bersama isterinya. Malah, sejak pulang ke rumah sewa mereka, sudah dua malam dia tidur di sofa ruang tamunya – tetapi dia perlu yakin, yang keputusan yang dibuat Miza bukan kerana dia tak mahu menanggung kemarahan keluarganya, tapi kerana perasaan cinta yang masih tidak berubah.

Dia pantas mengalihkan perhatian kepada barang-barang di depannya apabila isterinya menghalakan pandangan ke arahnya.

“Ada apa-apa lagi barang yang abang nak bawa?”

“Rasanya tak. Oklah, abang nak bertolak ni, abang janji dengan Shukri untuk pergi ke pejabat dulu, ambil budget proposal yang dia siapkan semalam,” terang Adi sambil menutup hand luggagenya yang turut berisi laptop parlahan-lahan.

“Abang sure tak nak Miza hantar ke KLIA?” soal Miza sekali lagi.

“Tak apa, company driver hantar. Balik pun dia jemput, Miza tunggu aje di rumah,” ujar Adi lagi.

Adi menarik beg trolinya ke muka pintu. Dia menunggu Miza menghampirinya.

Isterinya itu menyambut salamnya seraya mengucup tangannya. Dia menyentuh dahi isterinya, dan terus berpaling untuk membuka pintu tanpa memandang semula ke arah isterinya.

---------------------------------------------------------------

Sebaik selesai segala urusan kerja, Adi dan rakan sepejabatnya, Azman, berlepas pulang. Mereka pulang sehari awal dari yang dijangka. Setibanya di KLIA, Pak Mahat, pemandu syarikat, sudah menunggu mereka.

Adi membuat satu panggilan telefon. Sebaik selesai bercakap, dia meminta Pak Mahat menghantarnya ke Cititel di Mid Valley.

“Wah, wah, pengantin baru kita ni, masih nak honeymoon lagi Pak Mahat,” Azman mengusiknya. “Tak balik rumah, duduk hotel lagi...” seloroh Azman disambut ketawa besar oleh Pak Mahat.

Adi tersenyum, seolah-olah mengiakan usikan mereka. Dalam fikirannya, berbagai kemungkinan menerjah. “Aku perlu pastikan,” bisik hatinya.

Sebaik tiba di hotel, di terus check-in. Selepas memberi tip kepada bell-boy untuk menghantar barang-barangnya ke bilik, dia lantas bergegas ke Mid Valley. Dia bertemu seseorang, yang kemudian membawanya ke satu restoren. Dari jauh, dia terlihat isterinya sedang makan dengan rakan sekerjanya, Nizam. Muka kedua-duanya kelihatan gusar, tapi mereka tetap kelihatan mesra. Dia bersalaman dengan penyiasat persendirian yang diupahnya untuk menjejaki tindak-tanduk isterinya itu, lantas berlalu pergi.

-------------------------------------------------------------------------

Selama sebulan, dia berlagak biasa. Miza melayannya dengan baik, bagaikan tiada apa yang berlaku antara mereka. Tapi dia masih tidak menyentuh isterinya. Hinggalah pada satu malam, sebelum masuk tidur, Miza bertanya, “Abang tak nak masuk tidur ke?”

Dia memandang isterinya dengan tajam, lantas bertanya, “Tidur dengan awak ke?”

“Abang, saya kan isteri abang yang sah,” jawabnya lembut seraya tersenyum penuh makna.

Adi mengeluh. “Awak masuklah dulu,” ujarnya.

Miza melangkah berat ke dalam bilik, dan sekali lagi malam itu, Adi tidur di sofa ruang tamu.

----------------------------------------------------------------------------
Petang itu, setiba di rumah, Adi terus mandi. Selesai mandi, dia menuju ke dapur untuk membancuh air Nescafe kegemarannya.

Dia ke ruang tamu semula, dan ketika itu, dia terdengar bunyi pintu rumahnya dibuka. “Awal balik hari ni,” bisik hatinya.

Miza melangkah masuk. Adi mengangkat muka untuk melemparkan senyuman. Tapi senyumannya mati. Miza masuk diikuti Nizam, dan perlahan-lahan keduanya melangkah ke ruang tamu.

“Hm,” dehem Miza.

Adi diam terpaku.

Lelaki itu lantas menghulurkan tangannya kepada Adi. “Saya Nizam”.

“Adi”, jawabnya pendek, dan menyambut salamnya. Dia sudah mengenali lelaki itu, tapi dia berbuat seolah-olah tidak pernah mengenalinya.

“Abang,” Miza memulakan bicara.

Hati Adi terasa berat. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak diingininya akan berlaku.
“Saya rasa, dah sebulan berkahwin, perhubungan kita ini tak akan ke mana. Jadi, daripada kita merana, saya rasa lebih baik kita berpisah.” Bergetar suara lembut Miza dalam menuturkan kata-kata.

Adi menghela nafas panjang. Dia diam beberapa ketika, mengawal rasa marahnya dari membuak. Hampir seminit baru dia bersuara. “Miza, Ini antara kita berdua, kenapa perlu Miza babitkan dia sekali? Bawa dia ke rumah kita?” Adi mula meninggikan suara.

Nizam mencelah tiba-tiba. “Sorry, tapi Miza yang minta saya temankan dia,” ujarnya.
“Macam inilah, boleh tak kalau Encik Nizam tunggu di luar? Saya nak berbincang dengan isteri saya sekejap,” sengaja dia memberi tekanan pada perkataan isteri.

Sebaik Nizam keluar, Adi merenung muka isterinya. Miza hanya diam tunduk tak berkata apa-apa. Setelah dia merasa puas merenung wajah itu, barulah Adi berkata-kata.

“Miza, abang tak tahu nak cakap apa lagi, tapi kalau Miza dah buat keputusan, abang tak nak halang. Abang ada maruah. Dah lebih sebulan kita berkahwin, tapi Miza masih lagi berjumpa dengan Nizam di belakang abang...

Miza mengangkat muka, “Abang tuduh Miza?”

Adi menggelengkan kepala tanda kesal. “Jangan sangka abang bodoh, Miza. Di mana, bila, semuanya abang tahu, abang diam sebab abang nak tengok sejauh mana permainan sandiwara Miza. Dan abang nak Miza tahu, itulah sebab utama abang tak sentuh Miza. Abang nak pastikan Miza benar-benar yakin akan perkahwinan kita ini, barulah abang akan anggap Miza dah bersedia. Tapi, kalau ini juga pilihan Miza, abang takkan halang. Abang lepaskan Miza dalam keadaan suci, abang harap Miza akan jaga diri Miza,” Adi lantas menarik tangan isterinya, mengucupnya, dan terus bangun.

“Kalau Miza nak ambil barang-barang Miza, tolong datang masa abang kerja esok, dan tinggalkan kunci dalam laci rak kasut,” ujarnya sambil menuju ke pintu dan membukanya.

Miza melangkah keluar, lidahnya kelu untuk bersuara. Setelah beberapa langkah, dia berpaling, tapi pintu telahpun ditutup. Airmatanya serta-merta mengalir keluar, tapi dia menguatkan hatinya, “Ini pilihan aku, aku dah pilih dia, aku akan teruskan!” hatinya bulat dengan pilihannya yang dirasakan tepat, dan melajukan langkahnya ke arah Nizam yang sedang tersenyum lebar di depan lift.

------------------------------------------------------------------------------

Sudah tiga minggu Miza keluar dari rumah. Adi cuba berlagak biasa, tapi hatinya Tuhan saja yang tahu. Bercinta sejak di kampus, sewaktu dia di tahun akhir, dan Miza baru di tahun kedua. Disambung lagi dengan dua tahun ikatan pertunangan, sudah tujuh tahun lamanya usia perhubungan mereka. Tidak pernah terlintas di fikiran akan begini akhirnya cinta mereka. Dan malam itu, seperti malam-malam sebelumnya, dalam melayan lamunannya, dia tertidur lagi di depan televisyen.

Dia dikejutkan dengan bunyi deringan telefon. Dia melihat nama pemanggil, ‘sayang’. “Miza?” terpacul nama itu dari mulutnya. Pantas dia melihat jam di telefon. 1.05a.m.

Dia mengawal diri, lantas menjawab panggilan itu, “Miza?” Hatinya terusik, dia dapat mendengar esakan di talian. “Miza...” dia bersuara lagi.

“Abang, Miza nak jumpa abang...” dalam sedu-sedan, Miza memberitahunya.

“Mimpi ke aku ni?” Adi bangun, menggosok matanya, dan meluru ke bilik air. Dia meletak telefon sebentar, membasuh mukanya di singki dan kembali mengangkat telefon.

“Miza? Miza ke tu? Kenapa Miza?” dia bertanya semula.

“Abang, Miza minta maaf, tapi, Miza nak jumpa abang,” suara itu seakan berbisik.

Setengah jam kemudian, dia tiba di hadapan sebuah kedai 7-Eleven di Kelang. Dia membuka pintu, dan Miza melangkah lemah ke arah kereta.

Adi memandu ke arah sebuah restoren 24 jam. “Jom, kita minum,” dia mengajak.

Agak lama mereka diam melayan perasaan masing-masing, kopi panas di hadapan mereka semakin sejuk tak berusik. Adi sedar, isterinya nampak kehilangan berat bdan, dan mukanya seolah-olah menanggung penderitaan batin yang maha hebat.

Miza tiba-tiba berkata, “Abang, Miza ni isteri derhaka, nusyuz!”

Adi meraup mukanya, dan melepaskan satu keluhan berat.

Dia mula menyusun kata-kata. “Betul. Tapi abang boleh faham apa yang berlaku, sebab Miza dah cuba untuk putuskan perhubungan kita sebelum kita berkahwin dulu. Masa tu, mungkin abang terlalu berkeras dengan Miza, sampai Miza takut untuk berterus-terang dengan keluarga Miza. Itu juga sebabnya abang tak nak bersama Miza, abang takut kalau Miza mengandung, keadaan akan lebih sulit. Tapi, malam ni, abang minta sangat-sangat, Miza jawab soalan abang.”
Adi menghela nafas panjang. “Kenapa?” soalnya ringkas.

Miza tunduk semula. Perlahan-lahan, dia mengatur bicaranya satu-persatu. “Abang, kita dah lama bercinta. Dah tujuh tahun. Selama ni, kasih-sayang Miza pada abang memang tak pernah luntur. Tapi, sampai satu masa, Miza rasa bosan dengan perhubungan kita.”
Dia mengangkat mukanya seketika, tetapi raut wajah Adi yang tidak menunjukkan sebarang emosi membuatnya tunduk semula.

“Abang terlalu baik, rajin sembahyang, tak macam kebanyakan kawan-kawan Miza sebelum ini. Jadi, Miza rasa bertuah sangat dapat abang. Tapi, bila dengan kawan-kawan, mereka selalu cerita mereka pergi sana-sini dengan boyfriend – pergi holiday, disko, lepas tu, ada yang sampai tidur bersama...” Miza terhenti seketika.

“Bukanlah Miza nak abang tidur dengan Miza,” pantas dia membetulkan kata-kata, “tapi, Miza rasa macam perhubungan kita tak ada excitement lagi. Jadi, bila kenal Nizam, Miza rasa dia lain, sebab dia adventurous. Dia gemar rock climbing, scuba diving, sedangkan abang tak pernah buat semua tu... Jadi bila dia cakap dia sukakan Miza, Miza rasa excited.”
Dia mengangkat mukanya, merenung mata Adi untuk menelah apa yang tergambar di fikirannya, tapi Adi tetap membisu seribu bahasa.

“Kemudian, bila dah kahwin, abang pula buat tak tahu dengan Miza. Jadi, Miza ingat yang dia boleh bahagiakan Miza, sebab itulah Miza tinggalkan abang. ” Dia diam semula.

“Tapi sekarang, kenapa pula Miza nak kembali pada abang?” soal Adi.

Miza tidak menjawab soalannya.

“Miza, abang tanya ni,” soal Adi semula.

Miza gumam, seolah-olah mulutnya terkunci.

“Miza cakap, apa yang dia dah buat pada Miza?” sergah Adi, sambil menepuk meja.

Miza terperanjat. “Abang, dia tak buat apa-apa. Dia.. dia.. tak dapat buat apa-apa sebab Miza tak bagi...” dia terhenti di situ.

“Apa yang... “ Adi mula faham.

“Abang, Miza minta maaf..”

“Miza cakap betul-betul dengan abang! Kalau dia cuba rogol Miza, kita pergi buat repot polis sekarang juga!”

“Tak, bang, tak... Dia... dia cuba ajak Miza tidur dengan dia...” Miza gugup, tapi dia meneruskan kata-katanya.
“Mula-mula Miza cakap Miza masih isteri abang. Kemudian, dia suruh Miza minta cerai. Miza kata nanti dulu. Tapi bila Miza tolak dia berkali-kali, dia mula kata Miza macam-macam. Dia kata Miza kolotlah, orang kampunglah... baru Miza sedar, yang selama ni Miza silap tentang dia. Selama dengan abang, abang sentiasa jaga maruah, kesucian diri Miza. Tapi dia...” Miza melepaskan satu keluhan berat.

“Dah banyak kali dia datang rumah sewa Miza, dia nak Miza jumpa abang untuk minta cerai. Bila Miza tak nak, dia cuba... dia berkasar dengan Miza. Malam ni, Miza suruh dia balik, tapi dia marah-marah. Itu sebabnya Miza terpaksa tinggalkan rumah tu.” Terangnya panjang lebar.

Adi menghela nafas. “Jadi sekarang Miza nak buat apa?”

Miza tidak menjawab pertanyaannya.

“Abang tanya Miza, apa rancangan Miza sekarang?” Adi menyoalnya semula.
“Terpulang pada abang,” akhirnya dia bersuara.

“Okey, sekarang, kita balik rumah dulu, esok kita sambung bincang lagi,” ujar Adi seraya bangun.

“Kalau abang rasa Miza menyusahkan abang, abang hantar Miza ke rumah Mak Ngah di Kelana Jaya,” Miza memberitahunya perlahan.

Berkerut dahi Adi. “Kalau abang rasa Miza menyusahkan, buat apa dari mula abang datang jumpa Miza?”

Miza termangu seketika. “Bukan macam tu maksud Miza, Miza tak nak abang rasa tak selesa kalau Miza ada di rumah abang...” terangnya.

“Kenapa pula Miza nak rasa kekok di rumah sendiri?” soal Adi kembali.

Seakan akan kelegaan yang terpancar di muka isterinya, tapi Adi berlagak biasa. Mereka meninggalkan restoren itu dengan harapan menggunung.

-----------------------------------------------------------------------------
Esoknya, hari minggu. Sebaik selesai bersarapan roti canai yang dibelinya, Adi menyuruh Miza bersiap-siap.

“Nak ke mana?” soal Miza.

“Adalah, surprise.” Adi melemparkan senyuman.

Mereka keluar dari apartment sewa mereka di Seksyen 9 Shah Alam. Setiba di Seksyen 7, dia membelok ke kanan.

Tidak lama kemudian, Adi membelok menghala ke sebatang jalan, di mana terdapat sederetan rumah yang baru siap. Dia kemudian berhenti di hadapan sebuah rumah end lot.

Adi turun. Dia membuka pagar rumah tersebut, dan mengajak Miza menurutinya.

“Ni show house ke abang? Cantiknya.... Abang nak beli rumah ni ke?”

“Ya, abang nak showa house pada Miza lah ni...” Dia kemudiannya mengeluarkan segugus kunci dari koceknya, dan membuka pintu hadapan rumah tersebut.

“Jemput masuk,” Adi berkata. Muka Miza yang kehairanan ditenungnya.

Sebaik mereka melangkah masuk, Adi berkata, “Miza, rumah inilah penyebab abang jarang bawa Miza tengok wayang, main bowling, pergi scuba diving...” ujar Adi lembut.

Manik-manik jernih mula menitik dari mata isterinya. “Abang, Miza banyak dosa dengan abang... Miza tak layak dapat semua ni...” Miza bersuara dalam esak tangisnya.

“Isy, abang pun salah juga selama ni, abang terlalu sibuk dengan kerja, sibuk cari duit, sampai abang take Miza for granted, abang terlalu yakin yang Miza tak mungkin beralih kasih...”
ujarnya sambil menyeka airmata yang tumpah di pipi gebu isterinya.
“Tapi sekarang, sebab rumah abang dah beli, Miza boleh cakap, Miza nak pergi holiday ke mana? Jangan kata ke Langkawi, nak ke Gold Coast, Bali, Europe pun boleh!” Sambungnya riang.

“Abang, boleh tak kalau kita pergi umrah?” soal Miza dalam sedu-sedannya. “Miza pun ada duit simpanan sikit, kalau boleh Miza nak bawa mak dengan abah sekali. Kalau abang ada duit, abang bawa mak dan ayah abang.”

Adi menghampirinya. Dia mencapai tangan isterinya, menggenggamnya erat, lantas memberikan kucupan lembut di jari-jemari isterinya. Wajah yang semalamnya pucat lesi, berseri-seri sejak kerap diusik sejak pagi tadi.

“Ke mana saja, sayang, ke mana saja abang akan bawa...” bisiknya lembut, lantas menarik Miza ke dalam dakapannya. Dan Miza mendakapnya kembali...

No comments: